Jumaat, 7 Disember 2012

PBS - Pentaksiran Berasaskan Sekolah

PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif  (intelek),  afektif  (emosi dan rohani)  dan psikomotor  (jasmani) selaras dengan  Falsafah  Pendidikan Kebangsaan dan  Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS  mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.  Bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala  bidang bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua  bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.

Pentaksiran Sekolah (PS)
Pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan.
1 Pentaksiran formatif dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran.  Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.
2  Pentaksiran  sumatif dijalankan pada akhir setiap unit pembelajaran. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah  ujian bulanan dan ujian penggal.
PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan
pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning).

Pentaksiran Pusat (PP)
Pentaksiran yang  ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)
Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah yang ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum.

Pentaksiran Psikometrik (PPsi)
Pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability dan acquired ability), kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan  masalah,  minat,  kecenderungan, sikap dan personaliti murid.  Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan